Monday, December 1, 2008

Awas Kerajaan Sarawak

Bergilir-gilir ke Sarawak
SHAH ALAM 30 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemimpin parti itu terutama yang telah menjadi wakil rakyat di Semenanjung untuk bergilir-gilir pergi ke Sarawak setiap minggu dalam usaha Pakatan Rakyat menawan Sarawak selepas menawan lima negeri pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.
''Tunggu... (pengambilalihan kerajaan pusat) sementara itu gegar, langkah pertama gegarkan Sarawak, Sarawak barisan hadapan kita sekarang,'' kata beliau dalam satu ceramah malam semalam sempena Kongres Nasional Tahunan PKR di sini.
Beliau menyatakan perkara ini semasa memberi penjelasan kepada anggota parti mengapa rancangan mengambil alih Putrajaya pada 16 September lepas tidak berlaku dan bila ia akan menjadi kenyataan.
Katanya, peralihan kuasa pada 16 September tidak berlaku kerana permintaan Pakatan Rakyat melalui surat untuk berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan pimpinan kerajaan kepada beliau tidak dilayan.
Anwar berkata, permintaan pembangkang supaya diadakan satu sesi khas untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri di Dewan Rakyat juga telah ditolak.
Satu lagi punca kegagalan agenda 16 September itu ialah kerana anggota Parlimen yang bersetuju untuk menyeberang ke pihak pembangkang meletakkan syarat supaya identiti mereka tidak didedahkan sehingga mereka bersedia.
Anwar juga berkata, PKR akan turut mengukuhkan lagi kedudukannya di Sabah.
- Bernama